Khidmat Penterjemahan

English French German Spain Italian Dutch
Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Sabtu, 24 April 2010

Cuepacs mahu bincang semula peraturan dengan JPA pada 5 April: Omar

KUALA LUMPUR: Cuepacs akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 5 April ini bagi membincangkan semula syarat baru bersara pilihan yang kini diperketatkan dan disifatkannya tidak adil kepada kakitangan awam. 
Presidennya, Omar Osman, berkata hasil maklum balas diterima pihaknya selepas pekeliling mengenai syarat baru itu diedar bulan lalu, menunjukkan lebih 90 peratus kakitangan perkhidmatan awam, termasuk kalangan Pengurusan dan Profesional tidak bersetuju dengan syarat itu. “Setiap kakitangan perkhidmatan awam yang memohon bersara pilihan mempunyai sebab tersendiri dan gratuiti yang sepatutnya mereka peroleh dan diganti dengan sagu hati sebanyak 20 peratus ganjaran atau RM10,000 atau mana lebih tinggi itu sememangnya tidak dapat diterima.

“Setiap kakitangan perkhidmatan awam memohon bersara pilihan dan menerima ganjaran penuh seperti sebelum ini mempunyai perancangan mereka sendiri seperti menggunakannya untuk melunaskan hutang, menampung kos perubatan dan kesihatan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, ini mungkin akan terjejas disebabkan pelaksanaan syarat baru itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar semalam melaporkan JPA mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran sekali gus seperti sebelum ini.

Omar berkata, Cuepacs akan memohon JPA mencari mekanisma lebih adil dan memberikan situasi menang-menang kerana syarat baru yang diperkenalkan itu tidak dipersetujui majoriti kakitangan awam.

“Saya juga sudah berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini bagi menyuarakan kebimbangan selepas syarat baru bersara pilihan diperkenalkan selepas mendapat maklum balas negatif pelaksanaannya daripada banyak pihak.

“Apa yang diharapkan melalui perbincangan itu nanti satu mekanisme baru atau syarat baru yang mula berkuat kuasa sejak Februari lalu dikaji dan diteliti semula kerana pasti ada mekanisme lain yang boleh digunakan dalam menangani perkara itu,” katanya.

Omar berkata, Cuepacs juga menjangkakan syarat baru yang diperkenalkan itu juga akan memberikan kesan kepada kenaikan pangkat di kalangan pegawai lebih rendah kerana pergerakan jawatan yang perlahan disebabkan syarat ketat permohonan untuk bersara pilihan. 

Tiada ulasan: